Monday, June 28, 2010

...Tidak Ku Pinta...


Bismillah walhamdulillah...

Untuk post kali nie, ana nak kongsi satu citer. Citer nie ada kaitannya dengan isu semasa sekarang yang semakin menjadi-jadi. Dalam satu hari, tak sah sekiranya citer pasal nie tidak disiarkan di dada2 akhbar. Semakin mendapat perhatian dari pihak kerajaan, semakin banyak pula citer nie disiarkan. Apa citernyer? Haa...kalau nak tahu citer nie adalah berkenaan dengan “anak luar nikah”. Tapi yang ana nak kongsikan bersama di sini adalah mengenai luahan hati seorang anak luar nikah. Luahan hati seorang anak yang tidak bersalah. “Tidak ku pinta lahir ke dunia”, mungkin ayat ini la yang selalu bermain-main di fikiran seorang anak luar nikah. Hopefully, citer nie dapat menginsafkan kita sume.

*****

Tatkala awan kelabu mula mundur untuk pulang ke kamar peraduan,sepasang pipit comel masih menari mengikut lagu hatinya. Kelihatan bayu malam seakan tidak sabar-sabar untuk keluar berjalan. Iman Nadrah masih leka dibelai angin petang yang berpuput lembut menghempas pipinya. Seketika,tudung biru yang dipakainya menari mengikut rentak angin. Sepasang matanya masih tak berkedip memandang ke arah langit. Ya,hidup ini umpama langit, bisik hatinya. Langit tak selalunya cerah. Dan dia akur andai hidup ini tak akan selalunya indah. Sejenak, mindanya menayangkan kembali video rakaman hidupnya lima tahun lepas.

“Iman, asal nama ayah kau Abdullah? Bukan ke orang panggil ayah kau Pak Leman,” tanya Badrul.

”Ye lah iman. Asal ek? Entah-entah kau bukan anak Pak Leman,” ujar Rizal dalam nada menyindir diiringi gelak tawa teman-temannya. Saat itu,Iman cuba memekakkan telinga. Dia tepu,jemu dengan sindiran teman-temannya terutama Rizal. Persoalan mereka sebentar tadi dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Lantas, Iman meneruskan latihan matematik yang diberikan oleh cikgu Latifah. Di satu sudut di hujung kamarnya, iman diam membatu. Dirinya seakan mengiyakan persoalan Rizal. Walaupun dia masih belum sepenuhnya mengerti akan semua itu,tapi naluri ingin tahu yang menjalar dalam hatinya mendesak dia untuk bertanya pada ayahnya segera. Lantas,dia menuju ke arah Pak Leman yang asyik membelek akhbar.

“Ayah, tadi ada kawan Iman tanya kenapa dalam buku Iman nama Iman Nadrah binti Abdullah bukan Sulaiman? Bukan ke nama sebenar ayah Sulaiman?”

Seketika Mak Leha berhenti melipat kain. Berdebar menanti reaksi dan tindakan suaminya. ”Hmm Iman,kawan-kawan Iman mungkin tak tahu kalau ayah Iman ada dua nama.”

Tersenyum Mak Leha.Lega.

”Boleh ke seorang tu ada dua nama?” Iman masih belum berpuas hati.

”Hmm,boleh. Mari duduk atas riba ayah sayang, bacakan surat khabar ni untuk ayah, Iman kan dah pandai membaca,mata ayah pedih la,” pujuk Pak Leman untuk mengalihkan perhatian Iman. Pak Leman mengeluh kecil. Bimbang rahsia akan terbongkar,tapi sampai bila? Iman berhak untuk mengetahuinya. Mungkin belum tiba masanya,fikir Pak Leman.

”Iman, Iman anak ayah sayang.”

Tak bersahut.

”Iman dah tidur bang,” sampuk Mak Leha.

Sekejapnya dia lena,ujar Pak Leman perlahan lantas mendukung Iman ke kamarnya.

“Iman! Iman! Isyh,mengelamun pula budak ni” leter Mak Leha. Lantas Mak Leha menepuk lembut peha anak gadisnya.

”Ya,mak!” serta-merta dia tersedar. Kembali pulang ke alam realiti setelah sejenak di dunia fantasi.

”Dah maghrib ni, tak baik kalau masih diluar, jom masuk!” Lantas tanpa sepatah kalam bicara, Iman menurut kata ibunya.

Dalam menongkah arus kehidupan di dunia yang serba mencabar, acap benar ujian bertandang tanpa diundang. Untuk itu, kita perlu sentiasa bersedia, iman kalau sekadar setebal kulit bawang, mana mungkin dapat digapai walau dengan segenggam tabah. Iman akur,dia perlu tahu yang dirinya perlu menjadi seperti pohon, tetap menghasilkan buah walau dibaling dengan batu. Dan dia cuba menghadiahkan segaris senyuman pada teman-teman yang masih menghinanya, namun dia tidak setegar itu. Mereka perlu tahu, disebalik senyum palsu itu, hati Iman terluka.

Dia tidak mahu membebankan hati kedua orang tuanya. Kerana Iman sedar,bukan setitis pengorbanan dan kasih sayang Pak Leman dan Mak Leha kepadanya. Iman umpama sebutir mutiara yng bersinar dalam keluarganya. Imanlah harapan mereka, Imanlah jantung hati mereka kerana Iman satu-satunya anak mereka. Daun-daun kering yang berguguran walaupan sehelai, semuanya berlaku dengan izin Allah. Suasana nyaman itu agak tenang dan mendamaikan. Namun Iman merasakan hatinya membahang. Memikirkan persoalan yang entahkah wujud atupun tidak jawapannya. Remaja asyik berbicara tentang cinta. Bagi mereka cinta satu kemestian. Melihat teman-teman umpama belangkas ke hulur ke hilir demi sesaat kepuasan? Adakah menunggu natijah dan bala baru merasakan keinsafan? Umur baru setahun jagung, hingus masih di lap ibu, sudah pandai bermain api cinta. Apakah salah, kolot, mereka yang tidak bercinta?

Hidup dalam kelompok masyarakat yang kebejatan akhlak, Iman harus bijak menilai sesuatu. Manusia memang susah menerima nasihat. Pantang ditegur,mulalah mencerakinkan satu–satu persatu kelemahan orang itu demi menunjukkan bukan dia sahaja yang melakukan kesalahan. Memang benar andai setiap manusia tidak pernah terlepas daripada menelan duri kesilapan dalam kamus hidup. Kalaulah manusia memiliki prinsip seperti padi, makin berisi makin tunduk, pasti semua masalah dapat diuraikan kekusutannya.


“Eh! Iman, kau tak payah la susah-suasah nak nasihat aku. Aku tahulah jaga diri aku. Apa kau bimbang aku jadi macam mak kau?” Ujar Lina dalam nada menyindir.

”Mak aku? Kenapa dengan mak aku?” Soal Iman kebingungan.

”Eleh buat-buat tak tahu! Dasar anak luar nikah!”

Pang! Satu tamparan hebat hadiah daripada Iman atas ucapan Lina.

”Soal maruah diri aku, kau jangan nak main-main! Apa,kau ingat kau..."

Iman tak dapat menahan kata-katanya. Dia sebak lantas mengambil beg dan terus berlari pulang.

Diganggu Rizal

Iman masih dibayangi dengan peristiwa tiga hari lepas. Hatinya tidak tenang. Jiwanya resah. Selesai subjek Sejarah, Iman pulang agak lewat sedikit kerana dia perlu membersihkan kelas. Ketika asyik mengemas meja guru,dia terasa bahunya dipegang oleh tangan seseorang. Lantas sepantas kilat dia memalingkan badannya. Tangan itu menjalar ke pipinya. Iman cuba untuk menjerit, namun terhalang seakan kerongkongnya tersumbat.

“Ala, rilek Iman. Ini ringan-ringan je.”

“Binatang kau!” Iman meludah tepat ke arah muka lelaki tersebut lantas bergegas mengambil beg untuk pulang. Kerja membersih kelas dibiarkan separuh jalan. Sambil mengesat mukanya dengan tisu yang tersedia diatas meja guru, Rizal menjerit:

”Eh, anak luar nikah! Sedar diri sikit! Kau tu bukannya suci sangat!”


Persoalan Terungkai

Dia masih lagi trauma dengan kalimah anak luar nikah! Seakan terngiang-ngiang kalimah itu dicuping telinganya. Baru tadi dia memastikan nama ibu pada sijil kelahirannya berbeza dengan nama yang tertera pada kad pengenalan Mak Leha. Tahulah dia bila dipastikan ayahnya yang bernama Abdullah, segalanya terjawab. Benarlah anggapan dan omelan teman-temannya. Kebetulan Pak Leman baru memasuki rumah seusai berjemaah di surau. Lantas Iman menuju ke arah Pak Leman dan memeluk ayahnya seeratnya. Mak Leha bergegas ke ruang tamu tatkala mendengar tangisan anak emas mereka.

Iman menatap mata ayahnya. ”Ayah, jujurlah dengan Iman. Siapa Iman sebenarnya ayah? Katakanlah ayah, Iman bukan anak luar nikah! Iman bukan anak pungut ayah.”

Pak Leman tergamam dan beristighfar. Mak Leha duduk di atas kerusi .Sebak dan terlalu sedih. Hatinya masih belum bersedia untuk kehilangan Iman. Iman seakan orang yang terkena histeria. Masih terkejut dengan rahsia yang baru terbongkar.

”Jadi, Rizal tu……,dan lebih tepat penghulu kampung itu adalah...."

Pak Leman menggangguk walaupaun ayat itu tidak penuh kerana dia seakan dapat membaca fikiran anaknya itu.

Iman masih sedih. Dia masih belum dapat melelapkan mata walau jam telah menunjukkan tepat jam tiga pagi. Persoalannya telah terjawab. Namun dia hilang kepercayaan kepada penghulu. Dimana sikap kepimpinan seorang ketua andai dia membuang cucunya sendiri. Inilah masyarakat yang mengheret sama anak yang tak berdosa ke lembah kemaksiatan bersama ibu bapa mereka. Meskipun mereka semua tahu, andai diberi pilihan, lebih baik tiada daripada ada. Lahir daripada rahim ibu yang memperjudikan hidup dengan setitis nafsu bersama kaum Adam di lembah hina. Namun Iman nekad, walau apapun terjadi, dia tak akan meninggalkan Pak Leman dan Mak Leha meskipun Iman tahu siapa keluarganya yang sebenarnya.

Dua minggu berlalu, suasana kelas matematik menjadi riuh rendah apabila seorang anggota polis datang mengetuk pintu. Selepas berbicara dengan cikgu Latifah, kelihatan penghulu yang datang dari arah pejabat terus menerkam ke arah Rizal kerana tuduhan memperkosa Lina, teman sekelasnya. Iman menatap sayu mata insan yang sepatutnya tapi tak selayaknya dipanggil datuk. Dia sedar, semakin tinggi kemajuan, makin lupus ketamadunan. Kuasa dan pangkat menjadikan manusia lupa diri. Lantas demi menjaga nama baik keturunannya, Iman Nadrah “dijual” pada pasangan yang berhati mulia untuk menerimanya. Meskipun seakan tidak percaya, Rizal adalah adik kandung pada insan yang telah meminjamkan rahimnya untuk melahirkan iman ke dunia. Tidak hairanlah ada yang bertanya,adakah mereka kembar? Rupanya ada rahsia yang tersirat disebalik iras wajah yang tersurat. Dan “ibu bapa mereka” telah dihukum buang daerah hampir 15 tahun lepas dan tak dibenarkan pulang ke kampung ini.

Monolog Iman Nadrah...

Ya, Rizal kita tetap bersaudara. Apa yang terjadi kepada Lina dan Rizal benar-benar memberi keinsafan kepada Iman dan teman-temannya. Pasti ada hikmah disebalik ujian. Jangan tika ditelus duga kita goyah, tika diberi nikmat kita alpa. Dan Iman perlu untuk menghadapi kenyataan siapa dirinya sebenarnya kerana dia yakin dengan firman Allah di dalam surah Al-furqan ayat ke-25:

"Dialah yang menjadikan manusia dari setitis air mani yang hina dan menciptakan hubungan keturunan (nasab) dan perkahwinan."

Pada insan yang tak layak ku gelar bapa, telah meninggalkan aku tanpa bicara, moga hidayah Allah membimbingmu sebelum maut menjemput.

Pada ibu yang tak ku tahu di mana berada, meskipun payah menerima siapa aku, yang dilahirkan tanpa diundang, ku ucapkan jutaan terima kasih.

Andai kalian tahu, betapa deritanya aku yang dilahirkan dari setitik nafsumu yang diladungi dosa kemaksiatan, pasti kalian masih tidak mampu untuk menjernihkan kembali kolam hati yang berlumpur kesedihan.

Dan andai diberi kesempatan, dia ingin bersalam dan menzahirkan segalur penghargaan pada seorang insan yang sudi menerima kehadirannya selama 9 bulan di dalam laman rahim seorang wanita.

Dan dia ingin berjumpa dengan lelaki itu, menitipkan kalam keinsafan, sebelum pulang pada Ilahi, biarlah setiap denyut nadi dalam redha dan keampunanNya.

Biarlah yang lepas itu adalah sejarah. Esok adalah masa depan.

Ya allah, kau ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihi dan terimalah taubat mereka kerana sesungguhnya kau maha pengampun dan penyayang. Aamin.

**Inilah satu kisah kehidupan anak luar nikah. Iman bertuah kerana di jaga oleh Pak Leman dan Mak Leha dengan penuh kasih sayang. Cuba kita renungkan, bagaimana pula dengan nasib anak luar nikah yang dibuang ke rumah anak yatim, lebih parah lagi nasib mereka yang di jaga oleh individu yang mempunyai kepentingan sendiri...wallahualam...Fikir2kanlah...

Kat sini ana attachkan link ke artikel "couple, bolehkah?" yaang pernah ana post kat sini b4 nie...selamat membaca dan merenungi..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...