Tuesday, July 13, 2010

...Kisah Si Penjual Tempe...

Bismillah walhamdulillah...



Hayati dan renungilah kisah ini...

*****
Tersebut sebuah kisah, di kawasan selatan tanah air, tinggallah seorang perempuan tua yang bernama Jamilah seorang diri di sebuah pondok usang. Jamilah hidup sebatang kara. Suaminya telah meninggal 5 tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Sepanjang perkongsian hidupnya dengan suami, Jamilah tidak di kurniakan seorang anak pun. Namun, Jamilah tidak pernah mengeluh terhadap takdir yang telah di tentukan untuknya. Bagi menampung perbelanjaan sehariannya, Jamilah menjalankan perniagaan tempe. Setiap hari Jumilah akan membuat tempe dan menjual tempe yang ‘menjadi’(sudah boleh di masak) di pasar yang berdekatan dengan rumahnya.

Pada suatu hari, seperti biasa Jamilah bersiap-siap untuk ke pasar, tetapi alangkah terkejutnya Jamilah apabila mendapati tempe yang dibuat dari kacang soya terpilih itu masih belum ‘menjadi’ lagi dan tidak boleh dijual lagi.

Jamilah kebingungan, fikirannya tidak keruan memikirkan apa yang patut dilakukan. Maka Jamilah menadah tangan memohon pada Allah SWT agar tempenya itu ‘menjadi’ kerana tiada yang mustahil bagi Allah untuk menjadikan sesuatu itu. Setelah selesai berdoa, Jamilah menekan-nekan tempenya yang berada di dalam bungkusan, sambil mengharapkan agar tempenya sudah ‘menjadi’. Tapi, ternyata tempenya masih lagi belum menjadi.
Hari semakin cerah, maka sudah tentunya orang ramai sudah mulai mengunjungi pasar. Jamilah masih lagi tidak berputus harap pada Allah malah dia membawa tempe-tempenya ke pasar dengan harapan akan berlaku keajaiban kepada tempe-tempe tersebut.


Jamilah tidak putus-putus berdoa agar tempe-tempenya menjadi apabila sampai di pasar nanti. Sampai sahaja dipasar, Jamilah melihat tempe-tempe yang dijual oleh rakan-rakan penjual tempe yang lain hampir habis. Jamilah tanpa lengah-lengah lagi berkemas-kemas membuka gerai dan dengan perasaan berdebar-debar memeriksa tempe-tempenya samada sudah menjadi atau tidak. Ternyata seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih lagi belum menjadi.

Jamilah terduduk kesedihan sambil memanjatkan doa, “Ya Allah, Ya Tuhanku, berilah jalan penyelesaian terbaik terhadap tempe-tempeku yang belum ‘menjadi’ ini…”.
Tiba-tiba terdengar seorang wanita memberi salam, 
“Assalamuailaikum… awak ada jual tempe yang belum ‘menjadi’ tak?”.
Terkejut besar Jamilah bercampur kehairanan apabila wanita tersebut ingin membeli tempe yang belum menjadi.

“Waalaikumussalam... errmmm… ada, sekejap ya”, jawab Jamilah sambil mengeluarkan tempe-tempenya daripada bakul. 

Jamilah berdoa di dalam hati, “Ya Tuhanku, jika Engkau telah menjadikan tempe-tempeku ini ‘menjadi’ maka kembalikan tempe-tempeku seperti sediakala supaya aku boleh menjualnya kepada wanita tersebut”. Jamilah seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih belum menjadi.

Alangkah gembiranya hati seakan-akan seluruh alam turut merasai betapa syukurnya Jamilah dan lalu bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa awak mahu beli tempe yang belum menjadi ini?”. Wanita tersebut menjawab, “Saya mahu hantar tempe ini kepada anak saya yang berada di England, jadi apabila tempe-tempe ini sampai di sana, barulah cukup-cukup ‘ menjadi’.

Subhanallah, begitulah percaturan Allah terhadap hambanya...
P/s: Para pembaca sekalian, belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita, dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita kerana sesungguhnya Allah s.w.t itulah yang Maha Mengetahui...(2:216). Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah s.w.t maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Tiada yang mustahil bagi Allah s.w.t. Letakkan pergantungan kita 100% kepada Allah SWT dan bukannya bergantung harap kepada manusia atau pun kejadian Allah yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...