Friday, February 11, 2011

Ayah, pulangkan tangan adik...

Bismillah walhamdulillah...

Hayatilah dan renungilah untuk pengajaran kita semua.

*****
Perjalanan pulang En Amir dari showroom dengan memandu kereta baru memberi satu pengalaman baru yang sangat mengujakannya. dengan haruman bau dalaman kereta dan  bungkusan plastik yang masih ada, sudah cukup menceritakan bahawa impian bertahun-tahun En Amir untuk memiliki sebuah kereta mewah dan hebat telah menjadi kenyataan.





Sebaik sahaja sampai di rumah, kereta diletakkan di dalam garaj dengan cermat dan penuh berhati-hati, kerana sedikit calar pasti akan mengguris perasaan gembira yang sedang di nikmati kini. Isteri, anak termasuk pembantu rumah, entah berapa kali berkeliling melilingi kereta itu, melihat dari pelbagai sudut dan memuji serta menyebut hal2 yang sama berulang kali. Anak kecilnya berumur tiga tahun nampak lebih teruja dengan tak habis2 keluar masuk.


Malam itu sebelum tidur, En Amir juga sempat duduk di tempat pemandu dan melihat lagi keretanya sebelum ke katil. Mungkin tidurnya juga bermimpikan kereta baru yang berkilau itu.




Keesokkan harinya, dia bangun penuh ceria, bergegas menghadap sarapan lalu mencapai beg bimbit untuk ke pejabat. Kawan-kawannya sudah sedia maklum dan hari ini: Surprise! Begitu rancangannya.


Tetapi apabila dia menghampiri keretanya ada sesuatu yang sungguh memeranjatkan. Dia mendapati sekeliling keretanya terdapat calar-calar dengan goresan yang amat ketara. Beberapa saat dia terpinga dan terpaku melihat keadaan kereta idamannya itu.

Beg bimbit yang dipegang terlepas daripada genggamannya, kemudian muka mula terasa panas dan darah mula menyirap naik ke seluruh anggota badan. Secara spontan En Amir mula membayangkan anaknya, Ahmad yang baru berusia 3 tahun. Dia mula membayangkan keadaan anaknya yang suka menconteng serata dinding rumah. Baru kelmarin dia belikan kotak pensil warna dan kertas lukisan bagi mengatasi tabiat menconteng tersebut.

"Adik, mari sini!" Jeritnya kuat memanggil anaknya, nafasnya tersekat-sekat menahan api kemarahan."Budak ini kena di ajar," getus hatinya, berani benar dia menggores kereta barunya.

Si anak penuh ketakutan seperti seekor burung ciak yang menggigil dibasahi hujan. Tanpa berlengah si ayah terus mendapatkan anaknya dan memukul di serata badan sambil mulutnya tak sudah-sudah menghamburkan kata2 kemarahan. Si anak kecil ini hanya mampu meraung dan menangis tetapi di dalam hatinya, dia diselubungi rasa bersalah atas apa yang telah dia  lakukan.



Kemarahan si ayah masih belum reda, lantas mengambil pembaris besi nipis dan dipegangnya tangan si anak. Pembaris tersebut diracik-racikkan ke atas tangan si anak sambil berkata, "Ini  sahaja caranya ayah nak ajar kamu! Biar padan dengan muka kamu! Dasar anak tak mengenang budi!!!"


Ia terus mengherdik anaknya berulang kali. Kalaulah tidak disabarkan oleh isterinya, keadaan mungkin akan jadi lebih teruk lagi. Anaknya terjelupuk kaku dalam dakapan pembantu rumah dengan iringan sedu-sedan serta air mata membasahi pipinya.




"Mana pensel warna yang ayah belikan semalam?" bentak si ayah sambil mencari pensel warna yang baru dibelikan itu. Si ayah merampasnya lantas mematahkan pensel warna tersebut serta mencampakkannya ke dalam tong sampah.

Pagi tersebut sangat murung buat si anak, sangat perit buat si ayah. Si ayah masuk ke dalam kereta, menghempas pintu, menekan pedal minyak dan berlalu pergi tanpa menoleh. Manakala si ibunya pula hanya punya masa sekejap sahaja kerana terpaksa bergegas untuk urusan jauh ke luar daerah.



Tinggallah si anak ini dengan air mata berlinangan, sedu, tangis dan kesakitan bersama dengan bibik yang setia menjaganya sejak dari kecil.


Ayah yang masih marah dan tidak dapat memaafkan anaknya terus menghantar kereta ke bengkel dan dia hanya di luar sepanjang hari. Hatinya telah tertutup untuk balik ke rumah, kerana masih marah dengan sikap  dan perbuatan anaknya itu.



Lewat petang, telefon bimbitnya berbunyi, dengan malas dia mengangkat kerana dia tahu itu panggilan dari rumahnya.



"Bapak, apa saya perlu buat? Adik asyik menangis dan demamnya kuat sekali." Adu pembantu rumah di hujung talian dalam butir bicara keliru.

''Biarkan dia, saya nak ajar dia cukup-cukup!" Dengan marah dia terus mematikan telefon bimbitnya.

Malam itu, ayah tidak pulang ke rumah. Namun ketika lewat malam telefon bimbit berbunyi bertalu-talu daripada nombor yang dia tidak tahu. Dia mengangkatnya. Amat mengejutkan panggilan tersebut dari sebuah hospital meminta dia datang dengan segera. Tanpa berlengah, dia terus ke hospital.


Dia mendapati isterinya turut berada di sana. Pembantu rumah yang bergegas membawa anak ini ke hospital juga turut bersama dengan wajah sugul bercampur rasa bersalah. Dia terus meluru masuk berjumpa doktor bagi mengetahui kondisi anaknya. Alangkah pilu hatinya apabila dia diminta menandatangani akuan bagi melakukan pembedahan bagi memotong pergelangan tangan anaknya...


"Seluruh sarafnya telah rosak kerana bakteria telah merebak ke dalam sum-sum tulang, jadi kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa memotong tangannya untuk menyelamatkan nyawa anak ini." Jelas doktor dengan gambar x-ray dan analisis lain penuh di atas meja. Dengan hati yang berat dia menurunkan tandatangannya.



"Hari malang apakah ini???..." tangis hatinya dengan rasa kesal yang tidak dapat dibendung mengenang nasib anaknya.



Si ayah melihat dengan penuh simpati pada wajah comel anaknya yang telah terbaring setelah melalui pembedahan yang panjang. Perasaan simpati, bersalah, kesal, kasihan dengan nasib si anak silih berganti di dalam fikirannya.



Apabila si anak sedar, dia melihat ayah dan ibunya berada di sisi. Dia menangis sambil memohon kemaafan.



"Ayah... Maafkan adik, adik janji tidak akan gores kereta ayah lagi."



"Ayah tolong pulangkan pensel warna adik ... Adik nak melukis," rayu anak kecil itu untuk meraih simpati ayahnya.



Kelu lidah ayahnya, hanya air mata hangat mengalir di pipinya. Dia merasa sangat bersalah dan hanya mampu menatap wajah anaknya yang masih menangis. 

Tapi, sebaik sahaja si anak ini tersedar tentang tangannya yang kudung, dia terus meraung kesayuan, "Ayah, tolonglah adik... Pulangkan tangan adik, adik nak melukis, besar nanti adik nak jadi pelukis. Adik janji takkan gores kereta ayah lagi, ayah... tolong pulangkan tangan adik."


Tangisan adik terlalu kuat, sangat menyayat hati. Si ayah hanya mampu menangis semahu-mahunya. Apakah yang mampu dia perbetulkan kini? Dia merangkul anaknya dengan pandangan kosong melihat anak bersama cita-citanya yang berkecai dan berderai.



Marilah kita meneroka ke dalam hati si ayah dan terus bertanya kepada keyakinannya:

-Tidak bernilai




"Bukankah anak ini harta yang paling berharga?"


-Ya




"Bukankah anak permata hati?"




-Benar




"Bukankah anak ini ditunggu sejak kelahirannya, digomol penuh manja masa kecilnya, apabila berjauhan anda merinduinya, dia memanggil 'ayah' dan menjadikan hidup anda bahagia?"




-Benar, benar dan benar.




"Kalau begitu, samakah nilainya dengan warna kereta baru anda?




-Tidak sama sekali.




"Jadi, kenapa anda sanggup memusnahkan cita-citanya dengan amarahmu itu?"




-Errr.. (tiada jawapan).




Sampai di sini kita sedar ada perselisihan ketara antara keyakinannya dengan apa yang dia buat. Dia mungkin tidak dapat mencari jawapan kenapa, tetapi telah mengetahui akibatnya.



Justeru itu bagi kita, sekiranya keyakinan tidak dapat memperkuat amal, tambahkan satu lagi kayakinan bahawa:




"Kebinasaan pasti menunggu mereka yang gagal beramal mengikut keyakinannya!"




"May our songs be true to what we see on the horizon."

P/s:
1. Kemarahan akan membawa padah. Maka, berfikirlah sebelum bertindak

2. Kawallah amarahmu, kerana apabila kita amarah, Allah tidak bersama kita,  
     tetapi Syaitan yang bersama dengan kita.

3. Tingkatkan kesabaran, kerana hidup ini adalah ujian Allah.

4. Jadikan Rasulullah S.A.W adalah idola kita. Akhlak RASULULLAH S.A.W adalah   
    Al-Quran.

2 comments:

ummu uswah said...

marah itu umpama api yg membakar segala-galanya.

'''...Hanya Hamba...''' said...

setuju2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...