Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, February 11, 2011

Ayah, pulangkan tangan adik...

Bismillah walhamdulillah...

Hayatilah dan renungilah untuk pengajaran kita semua.

*****
Perjalanan pulang En Amir dari showroom dengan memandu kereta baru memberi satu pengalaman baru yang sangat mengujakannya. dengan haruman bau dalaman kereta dan  bungkusan plastik yang masih ada, sudah cukup menceritakan bahawa impian bertahun-tahun En Amir untuk memiliki sebuah kereta mewah dan hebat telah menjadi kenyataan.





Sebaik sahaja sampai di rumah, kereta diletakkan di dalam garaj dengan cermat dan penuh berhati-hati, kerana sedikit calar pasti akan mengguris perasaan gembira yang sedang di nikmati kini. Isteri, anak termasuk pembantu rumah, entah berapa kali berkeliling melilingi kereta itu, melihat dari pelbagai sudut dan memuji serta menyebut hal2 yang sama berulang kali. Anak kecilnya berumur tiga tahun nampak lebih teruja dengan tak habis2 keluar masuk.


Malam itu sebelum tidur, En Amir juga sempat duduk di tempat pemandu dan melihat lagi keretanya sebelum ke katil. Mungkin tidurnya juga bermimpikan kereta baru yang berkilau itu.




Keesokkan harinya, dia bangun penuh ceria, bergegas menghadap sarapan lalu mencapai beg bimbit untuk ke pejabat. Kawan-kawannya sudah sedia maklum dan hari ini: Surprise! Begitu rancangannya.


Tetapi apabila dia menghampiri keretanya ada sesuatu yang sungguh memeranjatkan. Dia mendapati sekeliling keretanya terdapat calar-calar dengan goresan yang amat ketara. Beberapa saat dia terpinga dan terpaku melihat keadaan kereta idamannya itu.

Beg bimbit yang dipegang terlepas daripada genggamannya, kemudian muka mula terasa panas dan darah mula menyirap naik ke seluruh anggota badan. Secara spontan En Amir mula membayangkan anaknya, Ahmad yang baru berusia 3 tahun. Dia mula membayangkan keadaan anaknya yang suka menconteng serata dinding rumah. Baru kelmarin dia belikan kotak pensil warna dan kertas lukisan bagi mengatasi tabiat menconteng tersebut.

"Adik, mari sini!" Jeritnya kuat memanggil anaknya, nafasnya tersekat-sekat menahan api kemarahan."Budak ini kena di ajar," getus hatinya, berani benar dia menggores kereta barunya.

Si anak penuh ketakutan seperti seekor burung ciak yang menggigil dibasahi hujan. Tanpa berlengah si ayah terus mendapatkan anaknya dan memukul di serata badan sambil mulutnya tak sudah-sudah menghamburkan kata2 kemarahan. Si anak kecil ini hanya mampu meraung dan menangis tetapi di dalam hatinya, dia diselubungi rasa bersalah atas apa yang telah dia  lakukan.



Kemarahan si ayah masih belum reda, lantas mengambil pembaris besi nipis dan dipegangnya tangan si anak. Pembaris tersebut diracik-racikkan ke atas tangan si anak sambil berkata, "Ini  sahaja caranya ayah nak ajar kamu! Biar padan dengan muka kamu! Dasar anak tak mengenang budi!!!"


Ia terus mengherdik anaknya berulang kali. Kalaulah tidak disabarkan oleh isterinya, keadaan mungkin akan jadi lebih teruk lagi. Anaknya terjelupuk kaku dalam dakapan pembantu rumah dengan iringan sedu-sedan serta air mata membasahi pipinya.




"Mana pensel warna yang ayah belikan semalam?" bentak si ayah sambil mencari pensel warna yang baru dibelikan itu. Si ayah merampasnya lantas mematahkan pensel warna tersebut serta mencampakkannya ke dalam tong sampah.

Pagi tersebut sangat murung buat si anak, sangat perit buat si ayah. Si ayah masuk ke dalam kereta, menghempas pintu, menekan pedal minyak dan berlalu pergi tanpa menoleh. Manakala si ibunya pula hanya punya masa sekejap sahaja kerana terpaksa bergegas untuk urusan jauh ke luar daerah.



Tinggallah si anak ini dengan air mata berlinangan, sedu, tangis dan kesakitan bersama dengan bibik yang setia menjaganya sejak dari kecil.


Ayah yang masih marah dan tidak dapat memaafkan anaknya terus menghantar kereta ke bengkel dan dia hanya di luar sepanjang hari. Hatinya telah tertutup untuk balik ke rumah, kerana masih marah dengan sikap  dan perbuatan anaknya itu.



Lewat petang, telefon bimbitnya berbunyi, dengan malas dia mengangkat kerana dia tahu itu panggilan dari rumahnya.



"Bapak, apa saya perlu buat? Adik asyik menangis dan demamnya kuat sekali." Adu pembantu rumah di hujung talian dalam butir bicara keliru.

''Biarkan dia, saya nak ajar dia cukup-cukup!" Dengan marah dia terus mematikan telefon bimbitnya.

Malam itu, ayah tidak pulang ke rumah. Namun ketika lewat malam telefon bimbit berbunyi bertalu-talu daripada nombor yang dia tidak tahu. Dia mengangkatnya. Amat mengejutkan panggilan tersebut dari sebuah hospital meminta dia datang dengan segera. Tanpa berlengah, dia terus ke hospital.


Dia mendapati isterinya turut berada di sana. Pembantu rumah yang bergegas membawa anak ini ke hospital juga turut bersama dengan wajah sugul bercampur rasa bersalah. Dia terus meluru masuk berjumpa doktor bagi mengetahui kondisi anaknya. Alangkah pilu hatinya apabila dia diminta menandatangani akuan bagi melakukan pembedahan bagi memotong pergelangan tangan anaknya...


"Seluruh sarafnya telah rosak kerana bakteria telah merebak ke dalam sum-sum tulang, jadi kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa memotong tangannya untuk menyelamatkan nyawa anak ini." Jelas doktor dengan gambar x-ray dan analisis lain penuh di atas meja. Dengan hati yang berat dia menurunkan tandatangannya.



"Hari malang apakah ini???..." tangis hatinya dengan rasa kesal yang tidak dapat dibendung mengenang nasib anaknya.



Si ayah melihat dengan penuh simpati pada wajah comel anaknya yang telah terbaring setelah melalui pembedahan yang panjang. Perasaan simpati, bersalah, kesal, kasihan dengan nasib si anak silih berganti di dalam fikirannya.



Apabila si anak sedar, dia melihat ayah dan ibunya berada di sisi. Dia menangis sambil memohon kemaafan.



"Ayah... Maafkan adik, adik janji tidak akan gores kereta ayah lagi."



"Ayah tolong pulangkan pensel warna adik ... Adik nak melukis," rayu anak kecil itu untuk meraih simpati ayahnya.



Kelu lidah ayahnya, hanya air mata hangat mengalir di pipinya. Dia merasa sangat bersalah dan hanya mampu menatap wajah anaknya yang masih menangis. 

Tapi, sebaik sahaja si anak ini tersedar tentang tangannya yang kudung, dia terus meraung kesayuan, "Ayah, tolonglah adik... Pulangkan tangan adik, adik nak melukis, besar nanti adik nak jadi pelukis. Adik janji takkan gores kereta ayah lagi, ayah... tolong pulangkan tangan adik."


Tangisan adik terlalu kuat, sangat menyayat hati. Si ayah hanya mampu menangis semahu-mahunya. Apakah yang mampu dia perbetulkan kini? Dia merangkul anaknya dengan pandangan kosong melihat anak bersama cita-citanya yang berkecai dan berderai.



Marilah kita meneroka ke dalam hati si ayah dan terus bertanya kepada keyakinannya:

-Tidak bernilai




"Bukankah anak ini harta yang paling berharga?"


-Ya




"Bukankah anak permata hati?"




-Benar




"Bukankah anak ini ditunggu sejak kelahirannya, digomol penuh manja masa kecilnya, apabila berjauhan anda merinduinya, dia memanggil 'ayah' dan menjadikan hidup anda bahagia?"




-Benar, benar dan benar.




"Kalau begitu, samakah nilainya dengan warna kereta baru anda?




-Tidak sama sekali.




"Jadi, kenapa anda sanggup memusnahkan cita-citanya dengan amarahmu itu?"




-Errr.. (tiada jawapan).




Sampai di sini kita sedar ada perselisihan ketara antara keyakinannya dengan apa yang dia buat. Dia mungkin tidak dapat mencari jawapan kenapa, tetapi telah mengetahui akibatnya.



Justeru itu bagi kita, sekiranya keyakinan tidak dapat memperkuat amal, tambahkan satu lagi kayakinan bahawa:




"Kebinasaan pasti menunggu mereka yang gagal beramal mengikut keyakinannya!"




"May our songs be true to what we see on the horizon."

P/s:
1. Kemarahan akan membawa padah. Maka, berfikirlah sebelum bertindak

2. Kawallah amarahmu, kerana apabila kita amarah, Allah tidak bersama kita,  
     tetapi Syaitan yang bersama dengan kita.

3. Tingkatkan kesabaran, kerana hidup ini adalah ujian Allah.

4. Jadikan Rasulullah S.A.W adalah idola kita. Akhlak RASULULLAH S.A.W adalah   
    Al-Quran.

Saturday, September 4, 2010

...Maafkan ana, akak...

Bismillah walhamdulillah…
Sekadar coretan untuk renungan bersama.
*****
Tit…tit…tit…
Handset Aisyah berbunyi menandakan ada mesej yang baru masuk. Aisyah yang sedang bertadarus menghentikan seketika bacaannya lalu digapai handsetnya yang sentiasa setia di sisinya. Di skrin handset tersebut, tertera nama Ukht Izza, anak halaqahnya. “ooo, mesej dari Izza rupanya” monolog Aisyah sendirian. Tanpa berlengah, Aisyah terus menekan butang ‘unlock’ handsetnya dan membaca mesej tersebut.

“Salam akak, boleh tak ana nak jumpa akak kat surau kampus kul 5 petang nie? Ada hal penting nak gtau. Tapi akak datang sorang je tau”.

“Wasalam, InsyaAllah boleh ukht. Lagipun akak tak de kelas petang ni. Nanti kita jumpa ek”.
Balas Aisyah

Seperti yang dijanjikan, Aisyah tiba di surau kampus tepat jam 5 petang. “Alhamdulillah, nasib baik sempat sampai, kalau lambat tadi, mesti malu nak jumpa anak halaqah” monolog Aisyah sendirian sambil menarik nafas lega. Dalam halaqah, Aisyah selalu ingatkan anak halaqahnya untuk sentiasa menepati masa. Itu adalah salah satu muwassafat tarbiyah yang perlu bagi seorang yang bergelar da’i. Jadi, nak tak nak, Aisyah perlu tunjukkan contoh yang terbaik untuk anak halaqahnya. Aisyah masih terbayang-bayang suasana ketika sedang berebut bas di kolej kediaman tadi. Tolak-menolak adalah perkara biasa ketika ingin menaiki bas. Itulah senario yang paling tidak boleh dielakkan oleh sekalian pelajar.

Tuesday, July 13, 2010

...Kisah Si Penjual Tempe...

Bismillah walhamdulillah...



Hayati dan renungilah kisah ini...

*****
Tersebut sebuah kisah, di kawasan selatan tanah air, tinggallah seorang perempuan tua yang bernama Jamilah seorang diri di sebuah pondok usang. Jamilah hidup sebatang kara. Suaminya telah meninggal 5 tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Sepanjang perkongsian hidupnya dengan suami, Jamilah tidak di kurniakan seorang anak pun. Namun, Jamilah tidak pernah mengeluh terhadap takdir yang telah di tentukan untuknya. Bagi menampung perbelanjaan sehariannya, Jamilah menjalankan perniagaan tempe. Setiap hari Jumilah akan membuat tempe dan menjual tempe yang ‘menjadi’(sudah boleh di masak) di pasar yang berdekatan dengan rumahnya.

Pada suatu hari, seperti biasa Jamilah bersiap-siap untuk ke pasar, tetapi alangkah terkejutnya Jamilah apabila mendapati tempe yang dibuat dari kacang soya terpilih itu masih belum ‘menjadi’ lagi dan tidak boleh dijual lagi.

Jamilah kebingungan, fikirannya tidak keruan memikirkan apa yang patut dilakukan. Maka Jamilah menadah tangan memohon pada Allah SWT agar tempenya itu ‘menjadi’ kerana tiada yang mustahil bagi Allah untuk menjadikan sesuatu itu. Setelah selesai berdoa, Jamilah menekan-nekan tempenya yang berada di dalam bungkusan, sambil mengharapkan agar tempenya sudah ‘menjadi’. Tapi, ternyata tempenya masih lagi belum menjadi.
Hari semakin cerah, maka sudah tentunya orang ramai sudah mulai mengunjungi pasar. Jamilah masih lagi tidak berputus harap pada Allah malah dia membawa tempe-tempenya ke pasar dengan harapan akan berlaku keajaiban kepada tempe-tempe tersebut.

Monday, July 5, 2010

...Kasih Seorang Adik...

Bismillah walhamdulillah...

Sebuah perkongsian untuk bacaan umum.

*****

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah. "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak nak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.

Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun air mata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!" Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang... !" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi! " Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg... .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" jerkah ayah.

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku cuba memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. "Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat... ..

"Kak... untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah. Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia memberikannya kepadaku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak... .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi... aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik. "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada.

Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya... ."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.


"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

p/s: Subhanallah...kasih sayang antara seorang adik dan kakak. Betapa ikhlasnya seorang adik menyayangi kakaknya. Namun ketahuilah wahai para pembaca sekalian, kasih sayang 4JJl lagi banyak terhadap hambanya. 4JJl hanya menurunkan 1/100 sahaja rahmatnya ke dunia, yang mana dengan rahmat tersebut kita berkasih sayang. Seorang ibu tidak akan tidur nyenyak pada malam hari sekiranya anaknya sakit, seorang sahabat turut merasa sakit tatkala melihat sahabat yang lain sakit serta banyak lagi fenomena kasih sayang antara sesama insan. Namun sedarkah kita semua, wahai hamba 4JJl, lagi 99 rahmatNya di simpan untuk diberikan kepada hamba2Nya yang betul2 memohon kepadaNya. Jadi, ana menyeru kepada para pembaca sekalian untuk kita sama2 mengejar 99 lagi rahmat 4JJl itu.

Monday, June 28, 2010

...Jangan Hina Pekerja Kilang...

Bismillah walhamdulillah...
Sedikit perkongsian cerita dari ana. Semoga bermanfaat...


*****

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian isteri pak cik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat” beritahu pegawai itu lagi.

“Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera” janji Pak Uwei.

Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah... oo..Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?' Tanya Mak Pah.

“ Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana.Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai”

“Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan”

“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka
tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.” Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding” cadang Pak Uwei.

“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang. Lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

“Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.


“Tapi bang...

“Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu” pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang. Kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

“Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.

“Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada
ke tidak ke, sama aje. Balik ya?... ,” balas Pak Uwei.


Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau
ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.
“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” bantah Intan menaikkan darah Pak uwei.

“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?'

“Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah.” Intan cuba membuat abahnya faham.

“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!'

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.


“Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?,telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak
nak ambil tahu lagi!!'

Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.

Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.

“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit” Pak Uwei memulakan bicara.

“Hajat apa pula abah?' tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

“Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,' Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

“Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.

“Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat- lewatnya minggu depan.”

'Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,' jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada tu kau nak buat apa?' Tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga” sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.

“Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki
durian berbuah kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling Pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi” jawab Balkis.
Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

“Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.'

“Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,' sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

“Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

“Anak awak tu tak balik ke?' tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

“Nak ke mana pulak tu?' tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya”. Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

“Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?”

“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.'

“Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan,' suruh Mak Pah.

“Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu” kata Intan sambil mencium tangan ibunya. Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi.

Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api”.

“Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya,' usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

“Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawab Pak Uwei sinis.

Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula sedang melipat kain.

“Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang
digunakan untuk membaca.
“Apa hal... kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.

“Abah ni... ke situ pulak....”

“Habis tu?”

“Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit Intan masukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nant”. 'Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

“Apa???” Pak Uwei terkejut, matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.

“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan” tutur Intan perlahan sambil memerhatikan manic-manik jernih membasahi pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah” luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

“Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan”

“Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan...”ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

“Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni” MakPah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.

“Mak ni... “gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

“Semua dah siap ke mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

“Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan? mak belikan di sana
nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.'

“Hah, awak dengar tu.... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

“Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba mereka sebak dengan permintaan Intan itu.

*****


Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

“Kenapa resah aje ni, bang?” Mak Pah terjaga.

“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita”

“Sabarlah, dah nak sampai dah ni” pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

“Mak... abah... ,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

“Mereka menanti di rumah, abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.

“Intan pun tak datang juga ke?” Tanya Pak Uwei terasa hampa.

“Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah” Mak Pah menggeleng kepala, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut terasa bagai ada yang tak kena.

“Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit, dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,' balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?'

“Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus” ajak Azman menukar tajuk perbualan.

“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik” tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

“Mak dengan abah sihat ke”' tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

“Naik dulu Ngahnya...” suruh Long Semah.

“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

“Az... mana Intan? Mana adik kau Az?” Tanya Pak Uwei dengan suara yang terketar-ketar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

“Sabar abah... ,” Muaz menggosok belakang abahnya.

“Kenapa Az ... kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

“Mak... Intan dah tak ada mak” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan.

Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia”. Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.

“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?' tanya Mak Pah tersedu sedan.

“Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hariJumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak”. cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,'Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana .. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat..'


**Moral cerita:

1) Sebagai ibu bapa, janganlah kita membeza-bezakan anak2 kita.

2) Berbuatlah baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa.

Renung-renungkan...


Allah telah menetapkan setiap yang di jadikan olehNYA pasti ada perkara yang TERSIRAT.. Bermohonlah supaya kita di beri HIDAYAH olehNYA...kerana ia adalah jalan yang sukar ditemui walaupun kita seorang yg CELIK matanya...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...